Saya di tanya bertalu-talu oleh sahabat-sahabat perihal pendirian saya mengenai isu Suhaimi KP Umno Selangor yang sedang hangat di pasaran. Jawab ringkas saya - soal pendekatan.
Politik ini seperti sebuah permainan bola sepak. Kita memang berhasrat ingin bermain bola cara profesional tapi yang sebenarnya kita hanya layak seperti bola sepak liga ke 3 di England. Kita boleh dapatkan pengurus dan jurulatih dari Brazil atau Italy atau Germany namun kalau mentaliti pemain itu kelas ketiga, nampaknya permainan bolak sepak kita tidak akan kemana. Kekuatan mental perlu ada dikalangan pemain kita.
Segi taktikal pula, ada jurulatih yang mengamalkan pendekatan pertahanan. Bola hanya dimainkan dikawasan pertahanan sahaja, jarang menyerang. Prinsip gawang gol kena dipertahankan walau dengan apa cara sekali pun. Itu sebab nya pasukan seperti ini sentiasa berada di tangga corot liga.
Ada pula jurulatih yang menumpukan kepada serangan sepenuh masa. Bagi mereka menyerang adalah pertahanan yang terbaik. Bagi mereka bolasepak adalah art untuk menjaringkan gol, tanpa serangan tak mungkin gol dapat dijaringkan. Pasukan seperti ini biasanya mempunyai pemain penyerang dan midfield yang di hormati oleh kawan dan lawan.
Begitu juga dalam politik malaysia di abad ini. Ada pemimpin yang mengamalkan pendekatan menyerang dan ada pemimpin yang mengamalkan pendekatan bertahan. Nampaknya dalam kedua-dua pendekatan ini, muktahir ini pendekatan menyerang menjadi pilihan rakyat sebagai pengundi.
Politik juga berkenaan persepsi. Lihat sahaja bagaimana serangan pembangkang kepada BN. Yang penting bagi pembangkang bukan soal benar dan salah, tetapi bagi mereka yang sangat penting adalah persepsi. Jelas kepada kita bagaimana perkara yang putih menjadi kelabu dan akhirnya hitam kerana persepsi manakala perkara yang hitam menjadi kelabu dan terus putih semata-mata kerana kerana persepsi yang dimainkan. Politik malaysia penuh dengan persepsi.
Politik juga adalah mengenai tindakan (action). Rakyat kena dinampakkan apakah tindakan kita, apakah pandangan kita dalam setiap isu dan perkara. Rakyat bukan bodoh tau ! Mereka sentiasa memerhati setiap tindakan dan pandangan setiap parti dan pemimpin politik. Bermain politik 'didalam kelambu' menjadikan rakyat tidak melihat dan tidak mengetahui tindakan dan pandangan kita. Akhirnya mereka akan hanya mengambil maklumat dari parti dan pemimpin yang bersilat di gelanggan.
Kepimpinan tidak boleh dibuat-buat. Pemimpin itu dilahirkan atau di bina. Pemimpin yang dibina perlu melalui proses kaderisasi kepimpinan yang panjang untuk menjadi matang dan teguh kepimpinannya. Malangnya kaderisasi sudah semakin dilupakan oleh parti-parti melayu sekarang.
Tidak mudah menjadi pemimpin pemuda nombor wahid di Selangor. Kita merindui pemimpin pemuda seperti zaman Datuk Harun Idris atau sekurang-kurang seperti Datuk Onn Ismail. Namun itu sudah jauh meninggalkan kita. Proses pemilihan pimpinan pemuda yang intrique setahun yang lalu terus melemahkan tunas-tunas harapan kita. Biduk berlalu namun kiambang nampaknya semakin jauh dari tautan.
Terus-terusan mempunyai pemimpin yang layu-layuan akan menjadikan parti hanyut dibawa arus. Rakyat tidak akan terpanggil dengan pendekatan pemain yang layu-layuan yang hanya bermain dalam kelambu di kawasan pertahanan sahaja.
Rakyat mahukan pendekar yang lincah bersilat di tengah gelanggang.
No comments:
Post a Comment