Saturday, April 24

Zaid Kalah - kata Kit Siang

HULU SELANGOR, 23 April (Bernama) -- Menjelang pengundian Ahad ini dalam pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor, tokoh DAP Lim Kit Siang mengakui calon Parti Keadilan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim menghadapi laluan yang sukar berbanding lawannya P.Kamalanathan daripada Barisan Nasional.

Walaupun terdapat ramalan peluang kedua-dua calon itu adalah 50-50, Lim berkata Zaid sedang mengekori Kamalanathan disebabkan sokongan pengundi Melayu dan kaum India kepada calon BN itu.

"BN ada kelebihan hasil daripada kempen intensifnya tetapi saya yakin kita dapat mengubah keadaan jika kita menggadakan lagi usaha di saat-saat akhir ini," katanya.

Pemerhati berkata satu daripada faktor yang membantu BN ialah kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dua hari lepas untuk menyuntik semangat jentera BN selain menangkis semua dakwaan pembangkang terhadap beliau dan kerajaan.

Perdana Menteri juga telah menyelesaikan beberapa isu melibatkan penduduk Hulu Selangor seperti hak milik tanah selain meluluskan beberapa projek infrastruktur.

Minggu lepas, Kementerian Kerja Raya mengumumkan pembinaan persimpangan bertingkat yang akan memberi manfaat kepada 100,000 pengguna di kawasan Sungai Buaya, Sungai Choh, Serendah dan utara Rawang. Projek itu dijangka bermula awal tahun depan.

Kempen BN diperkuatkan lagi dengan kehadiran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Serendah pada Khamis.

"Dengan kehadiran Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan bekas Perdana Menteri, BN nampak bersungguh-sungguh berusaha untuk menang. Inilah yang membuatkan kami terpaksa berikhtiar untuk mengurangkan jurang. Jika tidak, keadaan akan menjadi amat sukar bagi kami," kata Lim.

Satu lagi faktor yang meletakkan PKR dalam keadaan bertahan ialah pendedahan menerusi blog mengenai tabiat Zaid meminum arak dan mengenai kuda lumba yang dimilikinya.

MIC menjangkakan pengundi kaum India akan kembali menyokong BN kali ini setelah mereka menyebelahi pembangkang pada pilihan raya umum yang lepas pada 2008.

"Sebelum ini, sokongan mereka ialah 70 peratus kepada pembangkang dan 30 peratus kepada BN tetapi sekarang keadaan sudah terbalik. Namun, kita tidak boleh terima gambaran ini pada permukaan saja dan kita harus berusaha keras sehingga hari pengundian," kata Samy Vellu.

Kewujudan parti Makkal Sakthi yang ditubuhkan oleh mereka yang menyokong pembangkang pada 2008 tetapi kini mengalih kepada BN, juga menarik ramai pengundi kaum India kepada parti pemerintah.

Pemerhati berkata walaupun persaingan dilihat sengit, calon yang menang nanti mungkin meraih majoriti sekitar 2,000 undi.

-- BERNAMA

1 comment:

hanizam said...

aku ramal majoriti zaid kena esok adalah sekitar 10000 undi...

kalau yang undi mamat ni pun, yang jenis dungu...dah sama-sama kena lumba kuda...