Monday, December 27

Isa dilantik Pengerusi FELDA

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) berkuatkuasa, 1 Januari 2011.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini, pelantikan itu dibuat berdasarkan keyakinan kerajaan terhadap kemampuan Mohd Isa untuk memberi perkhidmatan yang cemerlang dan efektif.

Mohd Isa menggantikan Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor yang dilantik sebagai Penasihat kepada Menteri yang bertanggungjawab ke atas FELDA.

Menurut kenyataan itu, Perdana Menteri mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Mohd Yusof di atas perkhidmatan beliau menerajui FELDA bermula dari 1 Julai 2001 hingga 31 Disember 2010.

Di bawah kepimpinan Mohd Yusof, FELDA sudah mengalami transformasi membanggakan serta menempa pelbagai kejayaan, sekali gus menjadi penyumbang ekonomi negara, menurut kenyataan itu.

Mohd Isa, yang menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun dari 1982 hingga 2004, adalah bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan bekas Naib Presiden UMNO.

No comments: