Saturday, January 22

Anwar hanya boneka DAP - GAPS

Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) menyifatkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai boneka yang menurut segala arahan dan rancangan diatur oleh DAP dalam usaha parti tersebut menguasai politik negara.

Pengerusinya, Hamizun Khairuddin berkata, DAP menyimpan terlalu banyak rahsia peribadi Anwar menyebabkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu terpaksa akur dengan segala perancangan yang diatur kerana takut segala rahsia tersebut didedahkan.

Kata beliau, Anwar tersepit di dalam situasi tersebut sehingga terpaksa mengikut lirik-lirik orkestra yang telah ditulis oleh DAP di mana beliau berperanan sebagai konduktor atau pelaksananya sahaja.

"Apa yang memburukkan lagi keadaan ialah Anwar telah melantik Pengerusi DAP, Karpal Singh sebagai peguam dalam kes liwatnya dan sudah tentu pelbagai rahsia peribadi beliau berada di dalam poket Karpal.

"Sebelum ini kita menyangka bahawa Anwar akan menggunakan DAP untuk memenuhi hasrat politiknya, tetapi dalam situasi sekarang sudah jelas bahawa sebenarnya Anwar yang dipergunakan oleh DAP dalam usaha parti itu menguasai politik negara. Anwar sekadar boneka kepada mereka sahaja," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Hamizun, selain menjadi pelaksana kepada segala rancangan DAP, Anwar juga berperanan untuk mendapatkan sokongan segelintir orang Melayu dan tidak lebih daripada itu.

Katanya, sokongan orang Melayu adalah penting bagi DAP untuk merealisasikan hasrat mereka memerintah negara.
"Anwar juga kalau dilihat pada ketika ini sudah tidak mempunyai idea untuk merencanakan strategi politiknya. Sebab itu sekarang kita selalu lihat beliau sibuk saman orang, sibuk nak cabar orang," ujarnya.

No comments: