Saturday, March 12

Gempa bumi jepun: 16+40 rakyat malaysia dalam bahaya

Pejabat kedutaan Malaysia di Nanpeidai-Cho di daerah Shibuya hanya mengalami kerosakan kecil apabila beberapa panel siling aluminium di bahagian pintu gerbangnya jatuh semasa gempa bumi 8.9 pada skala Richter melanda timur laut Jepun.

Duta Besar Malaysia di Jepun Datuk Shaharuddin Md Som berkata gempa bumi pada kira-kira pukul 2.46 petang itu hanya mengakibatkan kerosakan kecil, dan beberapa barang cenderahati serta buku-buku yang dipamer di pejabat kedutaan jatuh berselerak.

Katanya kejadian berlaku semasa beliau sedang menghadiri satu seminar di Hotel Okura, dan selepas dikejutkan dengan gegaran kuat, beliau terus bergegas kembali ke pejabat kedutaan.

"Walaupun saya pernah melalui pengalaman menghadapi beberapa gempa bumi sejak saya ditukarkan ke sini setahun empat bulan lalu, tapi kejadian hari ini memberi kesan yang amat mendalam kepada saya," katanya ketika ditemui Bernama di pejabatnya di sini hari ini.

Shaharuddin pada mulanya dijadual merasmikan satu mesyuarat kelab sukan dan rekreasi kedutaan pada pukul 4 petang, namun ia terpaksa dibatalkan apabila beliau terpaksa mempengerusikan mesyuarat kecemasan bagi merangka kemungkinan melancar gerakan menyelamat rakyat Malaysia di Jepun yang mungkin terperangkap akibat gempa bumi itu.

Beliau berkata terdapat 16 pelajar di wilayah Iwate dan 40 lagi di wilayah Miyagi, dua kawasan yang berdekatan dengan Sendai, yang merupakan kawasan pinggir pantai berhampiran dengan tempat kejadian gempa.

Shaharuddin juga berkata 50 rakyat Malaysia serta petugas kedutaan selamat, begitu juga kira-kira 20 anggota keluarga mereka dari Malaysia yang berada di sini.

Walaupun dalam keadaan kecemasan, Shaharuddin tetap memenuhi temujanji dengan Bernama, untuk memberi penerangan mengenai usaha meningkatkan hubungan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Jepun.

No comments: