Friday, July 18

USUL POLITIK

USUL UMNO CAWANGAN RANTAU PANJANG SELAT
BAHAGIAN KAPAR


Menyedari bahawa PRU 12 yang lalu banyak memberikan pengajaran kepada kita. Barisan Nasional kehilangan majoriti 2/3 di Parlimen. Kita juga kalah di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kelantan. Kita kalah apabila majoriti pengundi Cina dan India berpaling tadah dengan mengundi barisan pembangkang. UMNO sudah tidak boleh mengharapkan undi orang Cina dan India untuk menang dalam pilihanraya.

Memahami UMNO sebagai payung orang Melayu harus terus bangun untuk mempertahankan hak dan kepentingan orang Melayu sebagai bangsa teras negara Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Menginsafi bahawa amalan demokrasi adalah pilihan UMNO dan kita yakin jikalau amalan ini dilaksanakan dengan hikmah, jujur dan penuh tanggungjawab maka parti akan bertambah kuat, mantap dan dinamik serta relevan kepada aliran massa.

Meneliti bahawa kita wajar mencari kaedah-kaedah baru untuk membina kekuatan dalam usaha menjana kemenangan di Pilihanraya yang akan datang.


Maka Mesyuarat Agung UMNO Cawangan Rantau Panjang Selat yang bersidang pada hari ini 19hb Julai 2008 mencadangkan :


1. Proses pemilihan dalam UMNO samada di peringkat Majlis Tertinggi, Bahagian dan Cawangan harus mengikut amalan demokrasi yang sentiasa menjadi ikutan dan panduan Perlembagaan UMNO. Fasal-fasal Perlembagaan UMNO yang menjadikan UMNO dilihat kurang demokratik wajar dimesyuarahkan, diteliti dan dikaji semula jika perlu, antaranya adalah :

a. Fasal 9.5 – mengenai kouta pertandingan jawatan Majlis Tertinggi.
b. Fasal 15.5 – mengenai kouta pertandingan jawatan Jawatankuasa Bahagian.
c. Fasal 10.17 – mengenai kuasa Majlis Tertinggi untuk menangguhkan pemilihan peringkat Majlis Tertinggi, Bahagian dan Cawangan.

2. Generasi muda Melayu yang berumur 18-40 tahun harus terus menjadi aset UMNO dengan memastikan mereka digerakkan menjadi ahli parti melalui gerak-kerja bersepadu;

a. Pergerakan Pemuda diperingkat cawangan wajib mencari 25 orang ahli baru yang berumur antara 18-30 tahun pada setiap tahun.

b. Pergerakan Wanita diperingkat cawangan wajib mencari 25 ahli baru yang berumur 31 tahun keatas pada setiap tahun.

c. Pergerakan Puteri diperingkat cawangan wajib mencari 25 ahli baru yang berumur 18-30 tahun pada setiap tahun.


3. Kerajaan Persekutuan harus terus mempertahankan dasar-dasar yang memberikan pengiktirafan kepada orang Melayu kerana dasar ini dibuat bersendikan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Adalah amat dikesali baru-baru ini beberapa dasar yang berkaitan telah dipinda iaitu :

a. Kuota biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) (Bumiputera : Bukan Bumiputera) dipinda dari 90:10 kepada 55:45.
b. Kuota kakitangan perkhidmatan awam kaum India di naikkan dari 4% kepada 8 %.

4. Kakitangan kerajaan kumpulan A dan Guru lepasan Ijazah wajar dibenarkan untuk menyertai politik secara aktif. Penglibatan semula golongan ini di dalam UMNO secara aktif akan memberikan kekuatan baru kepada politik UMNO dan orang Melayu.

5. Pinjaman Pelajaran PTPTN wajar dipinda dari pinjaman pelajaran kepada pinjaman boleh ubah Biasiswa Kerajaan Persekutuan:

a. Ia boleh menarik minat generasi muda terpelajar Melayu untuk berterima kasih kepada UMNO dan cenderung kepada parti.
b. Sarjana Muda Kelas Pertama - 100 % diskaun
c. Sarjana Muda Kelas Kedua Atas - 75 % diskaun
d. Sarjana Muda Kelas Kedua Bawah - 50 % diskaun

6. Kerajaan Persekutuan melalui agensinya Biro Tata Negara dan KEMAS wajar dengan aggresif merakyatkan program AGENDA JATI DIRI MELAYU di kalangan orang Melayu di pelbagai peringkat.

1 comment:

Anak Kampung said...

nota: usul ini telah disokong dan diterima sebulat suara di Mesyuarat Agung UMNO Cawangan Rantau Panjang Selat yang bersidang pada 19 Julai 2008 lalu.