Thursday, August 7

Anwar Mengaku Tidak Bersalah Liwat Saiful


07 Ogos, 2008 10:46 AM

KUALA LUMPUR, -- Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Hakim S. M. Komathi Suppiah membenarkan Anwar, yang akan menyambut hari jadinya ke-61 Ahad ini, dibebaskan dengan jaminan bon peribadi sebanyak RM20,000 tanpa penjamin.

Hakim menetapkan 10 Sept untuk sebutan semula kes itu di mahkamah yang sama.

Anwar, penasihat Parti Keadilan Rakyat yang bakal bertanding pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh 26 Ogos ini, didakwa melakukan perbuatan itu antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun lepas di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini.

Beliau dituduh melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan terhadap Mohamad Saiful, 23 tahun.

Selepas jurubahasa Mahkamah Sesyen membacakan pertuduhan terhadapnya dan bertanya sama ada beliau (Anwar) mengaku bersalah atau tidak, Anwar berkata: "Itu jahat dan khianat. Saya tidak bersalah."

Pihak pendakwaan diketuai Peguam Cara Negara Datuk Idrus Harun manakala pihak pembelaan yang dibarisi sembilan peguam diketuai Sulaiman Abdullah.

Ini adalah kali kedua Anwar menghadapi tuduhan liwat. Dalam kes pertama pada 2000, beliau dituduh meliwat Azizan Abu Bakar, pemandu isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

-- BERNAMA

No comments: