Oleh Utusan Malaysia
Selasa, 5 Ogos 2008
KUALA LUMPUR – Sesi dialog pada Persidangan Perkhidmatan Awam 2008 hari ini menyaksikan rungutan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) dari negeri yang diperintah pembangkang kerana sesetengah anggota Exco kerajaan negeri berkenaan didakwa tidak berkelayakan memegang jawatan tersebut.
Salah seorang daripada pegawai kerajaan yang menyertai persidangan itu mendakwa, terdapat Exco di negeri pembangkang yang tidak mahir berbahasa Melayu mahupun Inggeris.
‘‘Malahan ada di antara Exco di negeri pembangkang yang tidak tahu langsung mengenai portfolio atau agensi di bawahnya apalagi bidang tugas mereka sendiri.
‘‘Keadaan ini menyukarkan kami sebagai anggota perkhidmatan awam untuk berurusan dengan Exco berkenaan dan melaksanakan tugas dengan baik,’’ kata salah seorang peserta pada sesi dialog persidangan berkenaan di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) Bukit Kiara di sini hari ini.
Sesi berkenaan dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Mohd. Ismail Merican sementara Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Zaid Ibrahim dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Tan Sri Zainul Ariff Hussain merupakan ahli panel.
No comments:
Post a Comment