DEMI mengelakkan ketegangan kaum yang boleh mengancam keselamatan negara, tindakan penahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ke atas tiga individu yang terbabit adalah wajar.
Kita tidak boleh mengambil risiko membiar suasana tegang dalam negara menjadi lebih tidak terkawal. Barangkali jika pihak berkuasa lewat bertindak, api kemarahan dan pergaduhan antara kaum mungkin tidak dapat dielakkan.
Jadi apa yang kerajaan lakukan pada Jumaat lalu adalah satu tindakan pencegahan dan amaran keras kepada pihak yang cuba mengganggu-gugat keselamatan negara dengan membangkitkan isu- isu perkauman dan agama serta mencabar undang-undang negara.
Mana satu kita mahu pilih dan pertahankan - keadilan untuk individu yang mengocak suasana tegang dalam negara atau menjaga keselamatan rakyat berbilang kaum daripada bergaduh.
Kita melihat ISA suatu bentuk pencegahan dan kawalan sebelum perkara tidak diingini terutama rusuhan kaum berlaku. Sebelum tercetus kemarahan, rusuhan kaum, kerosakan harta awam, pembunuhan dan kecederaan, adalah lebih baik tindakan diambil terlebih dahulu sebelum nasi menjadi bubur.
Sebagai sebuah negara berbilang kaum, budaya dan agama, tindakan tegas melalui ISA adakala perlu diambil supaya ketenteraman awam terpelihara.
Sebenarnya tiada siapa bebas bersuara dan bertindak tanpa mempedulikan perasaan orang lain.
Ternyata undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen itu berkesan untuk mencegah kacau-bilau dan huru-hara di negara kita. ISA tidak digunakan atas sebab lain, kecuali untuk menjamin keselamatan negara.
No comments:
Post a Comment