Friday, March 6

BERSATU LAH UMAT MELAYU - DYMM SULTAN SELANGOR

* Teks Penuh *

TITAH UCAPAN
DULI YANG MAHA MULIA SULTAN SELANGOR
DI MAJLIS PERASMIAN
MASJID JAMEK SULTAN ABDUL AZIZ SHAH,
JALAN TEMPLER, PETALING JAYA, SELANGOR.

PADA 6 MAC 2009 BERSAMAAN
09 RABIULAWAL 1430 H (JUMAAT)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Segala puji bagi Allah Subhanahu Wata'ala., Tuhan semesta alam, Selawat dan Salam ke atas junjungan besar Nabi kita Muhamad Sallallahu Alaihi Wasallam.

Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan limpah kurniaNya, Beta dapat hadir ke majlis perasmian pembinaan semula Masjid Sultan Abdul Aziz yang menjadi nadi penggerak masyarakat Islam di tengah-tengah bandar Petaling Jaya ini. Beta berharap, majlis yang diadakan ini akan mencetuskan semangat perpaduan di kalangan rakyat serta masyarakat di sini dan juga dapat memberikan rahmat dan keberkatan kepada seluruh masyarakat disini untuk menjalankan aktiviti-aktiviti keagamaan dengan lebih baik dan sempurna, terutama sekali untuk memberikan keselesaan beribadah kepada Allah Subhanahu Wata'ala.

Masjid ini telah dibina, dan dinamakan sempena nama Ayahanda Beta pada tahun 1964. Oleh sebab Petaling Jaya telah berkembang maju dan rakyatnya semakin bertambah serta dinaik-taraf menjadi bandaraya, maka keperluan untuk menampung lebih ramai jemaah adalah perlu, maka masjid ini telah dibina semula sesuai dengan taraf Petaling Jaya sebagai sebuah bandaraya. Beta ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang telah menyumbangkan perbelanjaan sebanyak Ringgit Malaysia Sepuluh Juta untuk pembinaan semula masjid ini yang telah diuruskan oleh Yang Berbahagia Tan Sri Dato' Seri Dr. Haji Zainul Ariff bin Haji Hussain semasa beliau berkhidmat dengan Kerajaan Persekutuan. Beta juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), pihak swasta serta individu yang turut membantu dalam proses pembinaan semula masjid ini. Beta tidak lupa juga untuk mengucapkan terima kasih kepada penduduk Petaling Jaya yang telah bersabar dalam menghadapi kesukaran dan kesulitan untuk beribadah sementara menantikan siapnya pembinaan semula masjid ini.

Sesungguhnya masjid adalah tempat yang mulia di dalam Islam. Namun begitu masjid bukanlah semata-mata tempat untuk menunaikan sembahyang berjamaah sahaja, tetapi ia juga adalah merupakan sumber utama pembinaan kekuatan ummah dan juga merupakan tempat yang boleh menyatukan umat Islam secara menyeluruh.

Menyedari hakikat inilah maka kita harus berusaha menjadikan masjid sebagai satu institusi yang penting dan utama bagi mengembalikan perpaduan dan kekuatan ummah. Mendidik ummah supaya bertaqwa kepada Allah, merasa mulia dengan Islam, menyayangi dan taat setia kepada tanah air serta sedia berkorban untuk bangsa, agama dan negara.

Oleh itu, para pegawai masjid yang dilantik bukan sahaja mesti mempunyai kelayakan akademik yang tertentu bahkan mempunyai sifat keperibadian yang tinggi serta mempunyai karisma yang terbaik sebagai pemimpin masyarakat. Dalam masa yang sama mestilah sanggup turun bersama-sama dengan masyarakat dalam semua aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan setempat. Laksanakanlah tanggungjawab dengan bersungguh-sungguh, saling membantu dan bekerjasama antara satu dengan yang lain.

Selain itu, pihak-pihak yang terlibat perlulah memandang serius dan prihatin sekiranya terdapat unsur-unsur yang tidak sepatutnya ditimbulkan dalam suasana kedamaian rumah Allah Subhanahu Wata'ala ini. Hindarilah gejala-gejala pecah amanah, perebutan kuasa, dengki mendengki, fitnah memfitnah, menimbulkan unsur hasutan, unsur-unsur campurtangan politik dan perkauman, unsur-unsur ajaran sesat serta gejala-gejala lain yang buruk sehingga boleh memporak-perandakan kesatuan Umat Islam bahkan mencacatkan imej kemuliaan masjid ini.

Di kesempatan ini, Beta ingin meluahkan rasa kesal dan dukacita serta kebimbangan Beta terhadap orang-orang Melayu di negeri Selangor ini yang mana telah berpecah belah, disebabkan oleh berlainan fahaman politik. Pepatah Melayu ada mengatakan "Takkan Melayu Hilang Di Dunia", tetapi memandangkan keadaan kucar-kacir yang berlaku di kalangan orang-orang Melayu, adakah orang Melayu akan kekal di dunia ini? Jawapannya, tentulah kekal, tetapi apalah gunanya jika orang Melayu itu tidak bertamadun, tidak dihormati dan boleh dipermainkan serta diperalatkan. Sudah lupakah orang Melayu akan sejarah negara kita? Di mana dengan kesepakatan, kesefahaman serta bersatunya orang-orang Melayu maka tercapailah kemerdekaan tanah air yang kita kasihi ini.

Beta merasa kesal, mengapa sejak kebelakangan ini tersebar di media elektronik dan media cetak suara-suara lantang yang mempersoalkan tentang kedudukan orang-orang Melayu, kedudukan Raja-Raja Melayu di negara ini, padahal seperti yang Beta katakan tadi perkara ini telah dipersetujui sebelum negara ini mencapai kemerdekaan dan telah termaktub di dalam Perlembagaan Negeri dan Persekutuan. Apa yang lebih menyedihkan Beta, suara-suara lantang ini datangnya daripada orang Melayu sendiri yang biadap, tidak berbudi-bahasa dan tidak merasa segan atau malu.

Orang Melayu telah diasuh dari zaman nenek moyang kita di atas landasan adat istiadat, budi pekerti, bersopan santun, hormat-menghormati dan sentiasa bermuafakat. Di atas landasan inilah maka orang Melayu disegani dan dihormati. Di manakah orang Melayu sekarang? Negara baru mencapai kemerdekaan setengah abad, orang Melayu telah bercakaran, hilang maruah, hilang budi pekerti disebabkan terlalu ghairah untuk merebut kuasa hingga sanggup menggadaikan bangsa dan negeri.

Beta telah berkali-kali menyeru kepada rakyat Melayu di Negeri Selangor ini supaya menghormati antara satu sama lain, memahami akan kedudukan satu dengan yang lain dan yang paling penting, mempercayai antara satu dengan yang lain. Jika orang Melayu sentiasa menyimpan syak wasangka antara satu dengan yang lain maka inilah yang akan menimbulkan rasa curiga, rasa sangsi dan cemburu yang menyebabkan timbulnya fikiran dan tindakan yang negatif sesama rakyat jelata.

Negara Malaysia telah mencapai kemerdekaan selama lima puluh tahun dan telah maju serta boleh bersaing di dalam dunia global ini. Adakah orang Melayu mahu melihat semua kemajuan yang dicapai ini hancur lebur dan kehidupan seharian menjadi porak-peranda hanya disebabkan oleh fahaman politik dan bergaduh sesama sendiri.

Sekali lagi Beta menyeru kepada rakyat Negeri Selangor yang Beta kasihi ini supaya bertenang dan merenung sedalam-dalamnya apa yang telah berlaku, dan bertanya kepada diri sendiri, adakah kita mahukan keamanan dan kesejahteraan hidup dalam suasana harmoni seperti yang kita nikmati ini berterusan? Atau bertelagah sesama sendiri dan tidak menghiraukan lagi adat dan budi bahasa, hormat menghormati dan membelakangkan undang-undang untuk kepentingan sendiri sehingga negeri yang kita dikasihi ini akan menjadi musnah dan mundur seperti negara-negara dunia ketiga.

"Bersatulah Orang Melayu, Apabila Ada Isu-Isu Kepentingan Orang Melayu Dan Agama Islam"

Beta sentiasa berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala agar Negeri Selangor yang kita kasihi ini sentiasa dilindungi dan dirahmati, tidak ditimpa mala-petaka dan rakyatnya yang berbilang kaum hidup dengan aman sejahtera, harmoni dan terus maju.

Akhirnya dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim, Beta merasmikan Pembinaan Semula Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz , Jalan Templer, Petaling Jaya, Selangor.

Sekian,

Wabillahi Taufiq Wal Hidayah
Wasalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

No comments: