Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan kegiatan empat syarikat Bumiputera yang meminjamkan kepala surat syarikat mereka kepada individu tertentu untuk menjalankan projek yang tidak wujud yang mendapat kelulusan Teoh Beng Hock dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Selangor, Ean Yong Hian Wah.
Pegawai penyiasat SPRM Selangor, Mohd Anuar Ismail, dalam keterangannya pada inkues kematian Teoh, berkata demikian berdasarkan empat keping invois yang diperoleh dan dicetak daripada komputer riba Teoh semasa dia disoal siasat di pejabat SPRM pada 15 dan 16 Julai lalu.
“Pegawai penyiasat telah melakukan siasatan terhadap empat dokumen ini dan menunjukkan keempat-empat syarikat ini telah meminjamkan kepala surat syarikat mereka kepada individu tertentu, dan telah menerima komisen (kerana meminjamkan kepala surat),” kata Mohd Anuar ketika memberi keterangan sebagai saksi ke-16 prosiding itu.
Ketika ditanya oleh peguam pemerhati SPRM, Datuk Abdul Razak Musa, saksi itu menamakan keempat-empat syarikat tersebut sebagai Syarikat Fizami Construction, Aris Enterprise, MKMN Enterprise dan M A Bina Melor Enterprise.
“Berdasarkan siasatan SPRM, syarikat Fizami telah memperolehi 26 projek bernilai RM147,812, syarikat Aris mendapat 14 projek bernilai RM88,275.30, syarikat MKMN dengan enam projek bernilai RM50,765 dan M A Bina Melor memperolehi tujuh projek dengan nilai RM69,010.
“Semua projek ini akhirnya pergi kepada Teoh Beng Hock dan Ean untuk tujuan kelulusan,” kata Mohd Anuar.
Teoh adalah setiausaha politik Ean yang juga Anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor.
Mohd Anuar berkata, melalui penyiasatannya beliau mendapati kegiatan serupa yang dilakukan oleh tujuh syarikat lain, serta beberapa bukti sokongan yang menunjukkan berlakunya penyelewengan wang peruntukan ADUN dalam projek palsu itu.
sumber-Bernama
No comments:
Post a Comment