Monday, July 12

Selangor Darul Pasir


Pasir di Dengkil pula dikorek

SEPANG 11 Julai - Kegiatan melombong pasir di Selangor semakin tidak terkawal apabila 20 hektar tanah yang terletak kira-kira 50 meter dari taman rekreasi Paya Indah Wetlands di Dengkil diceroboh untuk mendapatkan hasil tersebut.

Aktiviti yang dipercayai di atas tanah milik kerajaan itu berlangsung sejak dua minggu lalu dan dikatakan 10 juta tan metrik pasir dianggarkan bernilai RM220 juta sudah dikorek.

Dipercayai ia bukan satu-satunya kawasan tanah milik kerajaan yang diceroboh.

Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo yang mendedahkan perkara itu bimbang jika kegiatan tersebut tidak dihentikan, tanah di Selangor akan dipenuhi lubang yang sukar dipulihkan.

Mohamad Khir yang membawa sekumpulan pemberita ke tempat kejadian melahirkan perasaan kesal dengan kegiatan itu dan mendesak kerajaan negeri berbuat sesuatu bagi menyelamatkan kawasan rekreasi itu.

Beliau khuatir ekosistem kawasan yang menjadi habitat unggas dan haiwan liar itu akan terganggu dan tapak rekreasi yang menjadi salah satu produk pelancongan di Selangor akan musnah kerana kerakusan kegiatan melombong pasir.

''Saya hairan mana perginya Elizabeth Wong (Exco Alam Sekitar) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang selama ini mempertahankan alam sekitar?

''Jika dibiarkan, saya bimbang lebih banyak lombong akan dikorek dan kawasan Paya Indah Wetlands hanya tinggal nama," katanya yang turut ditemani Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Bharu, Wong Koon Moon dan ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah.

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Bukit Changgang, Bahaman Ahmad Jiman, 39, yang ditemui di tempat kejadian berkata, dia mengesyaki berlaku kegiatan mengorek pasir berdekatan Paya Indah Wetlands apabila banyak lori pasir keluar masuk ke kawasan itu melalui Kampung Olak Lempit di sini.

Untuk mengesahkan perkara itu, Bahaman yang juga pengerusi pertubuhan belia kampung itu pergi sendiri ke kawasan tersebut dan terkejut melihat hutan seluas 120 hektar telah ditebang dan terdapat kawasan lombong yang baru digali seluas 20 hektar di kawasan itu.

''Saya terkejut kerana kawasan yang dikorek terletak berhampiran habitat semula jadi haiwan liar dan sepatutnya aktiviti seperti ini tidak dibenarkan.

''Saya bercadang melaporkan perkara ini kepada pihak berkuasa agar tindakan susulan dapat dilakukan dan tanah di Paya Indah Wetlands ini dapat diselamatkan," katanya.

Menurutnya, kegiatan mengorek pasir itu begitu pantas hinggakan dalam masa dua minggu kawasan seluas itu dikorek menjadi lombong yang besar dan dalam.

Seorang lagi penduduk, Alfian Kasmin, 37, pula kesal kerana kawasan Paya Indah Wetlands yang sebelum ini sering dikunjungi penduduk kampung berdekatan untuk memancing dan melihat unggas cuba dimusnahkan dengan kewujudan lombong pasir.

Dia juga menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan negeri kerana kegiatan itu dijalankan secara berleluasa tanpa kawalan.

''Kawasan lombong bersebelahan tanah yang dikorek merupakan pusat menternak ikan tilapia, keli dan baung oleh pertubuhan belia di sini. Kawasan itu telah tercemar kerana aktiviti mencuci pasir menyebabkan minyak masuk ke kolam ternakan.

''Peluang untuk melihat pelbagai jenis unggas singgah di kawasan rekreasi ini juga sudah tertutup kerana ekosistem di sini sudah diganggu," katanya.

Bagi Mokhtar Mokhsin, 57, pula, kegiatan melombong yang tidak terkawal boleh mengancam keselamatan penduduk di kampung berdekatan kerana kejadian tanah runtuh dan jerlus mungkin berlaku.

Malah katanya, kemunculan terlalu banyak lori mengangkut pasir juga menyebabkan keselamatan penduduk terutama kanak-kanak terancam kerana kenderaan itu kadang kala dipandu secara melulu.

''Saya minta kerajaan negeri jangan tutup mata terhadap perkara ini kerana kegiatan mengorek pasir tanpa kawalan nampaknya tidak menguntungkan kerajaan negeri dan rakyat," katanya.

Sementara itu, tinjauan pemberita di tempat kejadian mendapati lebih 10 jentera pengorek digunakan untuk melombong pasir.

Semasa tiba di kawasan tersebut kira-kira pukul 12.30 tengah hari ini, kumpulan pemberita yang dibawa oleh Mohamad Khir mendapati kawasan yang diceroboh lengang dan tiada aktiviti melombong dijalankan.

Beberapa pekerja lombong yang sedang berehat di sebuah pondok yang dibina di kawasan bukit berhampiran tidak memberikan sebarang reaksi semasa ditemui pemberita.

Bagaimanapun, dua kenderaan pacuan empat roda yang membawa beberapa ekor anjing dipercayai tonto kepada kontraktor pasir melihat dari jauh gerak geri kumpulan pemberita.

sumber - utusan online

Komen warisan

pasir sana pasir sini, korek pasir sana korek pasir sini, skandal pasir sana skandal pasir sini, sesuai tukar nama kepada SELANGOR DARUL PASIR. Syabas Khalid.

1 comment:

Kalam Timur said...

Salam Perjuangan,

Mohon tuan link kan blog ini ke blog saya di:

http://warkahkalamtimur.blogspot.com/

Mohon tunjuk ajar tuan kerana saya masih baru dalam pertempuran maya ini.

Terima kasih.