Friday, August 20

Suruhanjaya Reid : Hak Istimewa Melayu Vs Kerakyatan Cina 1

Isu " Kontrak Sosial " hangat di perdebatkan akhir-akhir ini oleh pelbagai pihak terutamanya dalam kalangan ahli politik. Masing-masing melihat dari sudut dan kaca matanya sendiri. Melihat pada senario politik sekarang, penulis tidak berapa pasti samada semua pihak menerima hakikat bahawa Malaysia ini berasal usul dari Tanah Melayu yang di perintah oleh raja Melayu.

Sebelum tahun 1511, kerajaan Melayu Melaka merupakan sebuah empayar Melayu yang terkenal di Nusantara, malah telah diiktiraf oleh kerajaan asing seperti Maharaja China, India, Parsi dan Arab. Mereka berdagang di Melaka sebagai pusat pertukaran barangan antara timur dengan barat. Negeri Melaka di perintah oleh seorang raja Melayu yang di bantu oleh seorang Bendahara, Temenggung, Laksamana dan Syah Bandar. Mereka mentadbirnya melalui undang-undang yang dikenali sebagai undang-undang Sultan Melaka.

Mengikut seorang penulis Cina, ada seorang penterjemah kepada Laksamana Cheng Ho dan seorang Muslim yang melawat gugusan pulau-pulau Melayu pada tahun 1451 telah menambah maklumat baru kepada pedagang Cina mengenai kerajaan Melayu Melaka dan raja Melayu yang memeluk agama Islam. Raja-raja Melayu mempunyai rakyat mereka sendiri yang dikenali dalam sejarah sebagai " rakyat raja ".

Semuanya berubah apabila Portugis menyerang Melaka pada tahun 1511 dan raja Melayu yang memerintah terpaksa berundur. Melaka berubah tangan daripada Portugis kepada Belanda ( 1641 ) yang memonopoli perdagangan dengan raja Melayu Kedah dan raja Melayu Perak. Tidak lama kemudian, pada akhir abad ke-18, mulalah Inggeris memperkukuhkan kedudukannya dengan menubuhkan pengkalan angkatan laut di perairan Tanah Melayu untuk mengaktifkan perdagangannya dengan Raja-raja Melayu dan seterusnya mengambil alih kuasa daripada Belanda.

Raja-raja Melayu telah mengadakan perjanjian dengan wakil Inggeris seperti perjanjian memajak Pulau Pinang tahun 1786, Perjanjian Pangkor tahun 1874 dan lain-lain. Semua perjanjian untuk mendapat konsesi tanah dan perdagangan, dilakukan dengan Raja-raja Melayu. Semenjak tahun 1874, kerajaan Inggeris telah mengiktiraf hak ketuanan Melayu, perundangan dan adat resam Melayu. Perlantikan Residen dan penasihat Inggeris hanya sekadar untuk membantu Raja-raja Melayu dalam mengurus pentadbiran negeri, supaya lebih kemas dan tersusun.

-bersambung-

No comments: