Monday, December 20

Pendedahan wikileaks - Sedarkah Pas ?

Menyedarkan pemimpin pembangkang

KOTA BHARU 19 Dis. - Pendedahan WikiLeaks mengenai kegiatan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyedarkan lebih ramai pemimpin pembangkang termasuk Pas.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pendedahan demi pendedahan yang dibuat oleh WikiLeaks diikuti oleh bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendiri, sudah memberi impak besar kepada pakatan pembangkang.

Beliau berkata, semakin ramai pemimpin PKR mula risau dengan pendedahan tersebut sehingga bertindak keluar parti pimpinan Anwar itu.

"Ini tanda-tanda jelas bahawa pemimpin PKR semakin hilang keyakinan dan Pas, walaupun pemimpin mereka bermati-matian mempertahankan pemimpin PKR.

''Kita percaya apabila pendedahan demi pendedahan terus dibuat oleh bekas pemimpin PKR ada kebenaran, rakyat mula faham keadaan sebenar," katanya di sini hari ini.

Ditanya tindakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz yang dikatakan terus mempertahankan Anwar, Mustapa berkata, memang terdapat seorang dua pemimpin Pas yang bertindak sedemikian.

Bagaimanapun, katanya, pendedahan demi pendedahan yang dibuat mengenai Anwar lama kelamaan akan menyebabkan ahli-ahli Pas tidak senang hati dengan 'pakatan yang tak tahan lama itu.'

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, PKR dan Pas juga perlu sedar mengenai peranan DAP dan PAP di Singapura yang didakwa mempunyai hubungan baik sebagaimana didedahkan oleh WikiLeaks sehingga dikatakan menjadikan Anwar tunggangannya.

"Memang Anwar dipergunakan oleh banyak pihak, itu tidak menghairankan. Mereka akan ambil kesempatan, bila madunya habis, akan dibuang, ditunggang buat sementara waktu selagi ada faedah bagi mereka," katanya.

Semalam, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Hamidzun Khairuddin mendesak DAP supaya membuat penjelasan mengenai maklumat yang diterima Menteri mentor Singapura, Lee Kuan Yew berkenaan keterlibatan Penasihat PKR itu dalam aktiviti liwat seperti didedahkan oleh WikiLeaks baru-baru ini.

Hamidzun berkata, ini kerana DAP diketahui umum sebagai rakan politik rapat kepada kerajaan PAP Singapura, yang antaranya diasaskan oleh Kuan Yew pada 1954.

Tambahan pula, katanya, segala perincian kes itu berada dalam genggaman Pengerusi DAP, Karpal Singh yang turut bertindak sebagai peguam bela utama Anwar dalam kes liwat yang sedang dihadapinya.

Sumber - http://www.utusanonline.com.my/utusan/htm

No comments: