Wednesday, September 17

Arus Anwarisme kuasai PAS

DALAM sejarah penubuhan dan perjuangan Pas, apa juga yang mereka lakukan adalah berdasarkan realiti, fakta dan langkah strategis.

Bagi Pas kalau mahu berkuasa biarlah melalui pilihan raya kerana itulah yang termaktub dalam perlembagaannya. Justeru apabila parti itu menyatakan bahawa impian Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menubuhkan kerajaan, semalam (16 September) tidak akan menjadi kenyataan ia bukanlah sesuatu yang aneh.

Malah enam hari, sebelum impian indah Anwar itu berakhir, Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Mustafa Ali sudah menegaskan: "Saya kata (perubahan) tidak akan berlaku. Bila tiba 16 September ini boleh tengok saya betul atau dia (Anwar) betul.''

Ternyata telahan Mustafa adalah betul. Mustafa membuat kenyataan bukanlah untuk memecahbelahkan pakatan pembangkang tetapi atas sifat dirinya sebagai pengamal dan penganalisis politik.

Kegagalan Anwar untuk menubuhkan kerajaan sudah pastilah mengecewakan pemimpin tertentu dalam parti tersebut yang benar-benar mempercayai bekas Timbalan Perdana Menteri tersebut.

Selama ini biarpun mereka adalah pemimpin Pas yang turut mempunyai jawatan utama dalam parti dan di peringkat kerajaan negeri tetapi mereka sentiasa yakin bahawa Anwar akan mampu menjadi Perdana Menteri. Mereka termakan dengan janji-janji palsu Anwar.

Apa sahaja yang Anwar katakan mengenai 'mimpi 16 September' akan disusuli dengan sokongan oleh pemimpin-pemimpin tersebut.

Malah mereka juga dikatakan mempengaruhi pemimpin-pemimpin penting dalam Pas untuk membuat kenyataan bahawa 'mimpi 16 September' akan menjadi realiti. Tetapi kesudahannya apabila 'mimpi 16 September' tidak menjadi realiti ia benar-benar memalukan Pas secara keseluruhannya.

Ini kerana pemimpin-pemimpin tersebutlah yang telah menyebabkan Pas dilihat benar-benar kemaruk untuk merampas kuasa bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Kalau dikaji kenyataan-kenyataan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta pemimpin di peringkat akar umbi, mereka tidaklah seghairah pemimpin-pemimpin yang disifatkan sebagai 'Anwarisme dalam Pas' itu.

Ini kerana seperti mana kata Abdul Hadi, beliau tidak mahu menjadi mat jenin apabila meletakkan sasaran untuk menjawat jawatan Perdana Menteri.

Tetapi malangnya di dalam Pas terdapat pemimpin yang ingin menjadi mat jenin, soal perjuangan dan matlamat parti sudah tidak lagi menjadi perhitungan apa yang penting ialah merebut kekuasaan biarpun melalui cara yang mengkhianati demokrasi.

Pemimpin-pemimpin seumpama itu tidak kisah kalau imej Pas sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam tercemar, apa yang penting bagi mereka inilah saat terbaik untuk berkuasa.

Adalah sesuatu yang malang bagi Pas kerana tindakan pemimpin-pemimpin tersebut yang begitu kemaruk untuk berkuasa telah menjejaskan parti itu.

Rakyat akan melihat Pas juga kemaruk kuasa kerana sanggup bekerjasama dengan Anwar bagi merealisasikan 'mimpi indahnya.'

Sebaliknya ahli-ahli diberi ingatan bahawa sama ada mereka berkuasa atau tidak segala-galanya akan ditentukan melalui pilihan raya dan bukannya melalui rampasan kuasa apatah lagi dengan mengharapkan Ahli Parlimen parti lain melompat.

Namun semua perjuangan murni itu telah dicemari pemimpin-pemimpin tertentu dalam Pas yang bersekongkol dengan Anwar.Mereka sentiasa menyokong apa sahaja yang dikatakan oleh Anwar kerana begitu taksub kepada Anwar.

Walaupun di dalam Pas sudah ada tokoh-tokoh yang cukup berwibawa sama ada dari segi kepimpinan dan peribadi namun pemimpin-pemimpin berkenaan sanggup mengenepikan golongan tersebut.

Malah kelompok ini jugalah yang menghalang sebarang usaha untuk mengadakan muqabalah dengan UMNO biarpun ia bertujuan demi kepentingan Islam dan orang Melayu.

Kelompok 'Anwarisme' ini bimbang jika kerjasama dengan UMNO menjadi kenyataan sudah pasti mereka akan gagal mencapai cita-cita politik mereka untuk meletakkan Anwar menjadi Perdana Menteri.

Mereka sudah menjadi terlalu taksub dengan Anwar sehingga tidak lagi melihat bahawa pemimpin-pemimpin Pas jauh lebih baik daripada bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

1 comment:

Anonymous said...

Aslmkum Sdr. Hamidzun. Peristiwa 16 Sept 2008 sangat memalukan Malaysia. Anwar memang hebat sebagai graduate Universiti UMNO (incompleted). Cuma dia tu produk fakulti SENI DRAMA LAWAK. Entahlahhhhhh..