Wednesday, December 31

Politik Tok Guru, Presiden dan Puak Erdogan


Memang ada yang tidak kena dalam soal penentuan calon oleh PAS bagi bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Suasana serba tidak kena itu diperkatakan, sebaik sahaja nama-nama calon yang difikirkan layak bertanding mula disebut-sebut dan wujudnya pula faktor Erdogan atau kumpulan pemimpin PAS yang menyokong Anwar Ibrahim yang mahukan orang tertentu menjadi calon mewakili PAS.

Selain itu, memandangkan pilihan raya kecil ini akan berlangsung di Terengganu, negeri Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri, campur tangan PAS Kelantan yang diketuai oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat amat tidak disenangi.

Terbaru ia terbukti apabila Nik Aziz menyifatkan kelewatan pengumuman calon PAS bagi bertanding pada pilihan raya kecil berkenaan memberikan gambaran kegagalan PAS Terengganu untuk mencapai kata sepakat berhubung dengan penentuan calon.

Malah golongan ulama PAS Terengganu juga dikatakan tidak dapat berkompromi dengan kumpulan muda dalam parti itu bagia menentukan calon yang seharusnya dipilih.

''Ini masalah orang sini dan bukan saya," kata Nik Aziz merujuk kepada PAS Terengganu apabila ditanya mengenai kelewatan PAS menamakan calon parti itu. Kenyataan terbaru Nik Aziz itu, adalah daripada beberapa siri ‘pertembungan terbuka’ beliau dengan pemimpin PAS dari Terengganu.

Dalam konteks pilihan raya kecil Kuala Terengganu, belum pun PAS Terengganu membuat sebarang kenyataan, Nik Aziz sudah mendahului dengan mencadangkan nama Naib Presiden parti itu, Mohamad Sabu.

Tindakan Nik Aziz itu dikatakan usaha kumpulan Erdogan kerana nama Mohamad Sabu telah ‘dipasang’ oleh anak didik kesayangan Nik Aziz iaitu seorang lagi Naib Presiden Husam Musa yang dikenali menjadi ‘ketua’ kumpulan penyokong Anwar dalam PAS.

No comments: