Sunday, February 8

Fahami Undang-Undang


Ampun Tuanku. Tiada undang-undang di dunia ini yang sejernih air hujan yang turun dari langit. Kalau undang-undang boleh ditulis dengan sejelas-jelasnya, maka tidaklah perlu khidmat peguam mahupun hakim untuk untuk menginterpritasikanya.

Situasi di negeri Perak. Peguam-peguam dan pakar-pakar undang-undang sekarang dicari dan dirujuk bagi memberikan pendapat tentang situasi yang berlaku di sana. Masing-masing kini sibuk memberikan pendapat dan nasihat pakar terhadap keadaan di sana. Apa yang disampaikan ‘mungkin’ betul, ‘tune’ nya berbeza mengikut kecenderungan masing-masing.

Wajarkah kita adakan satu pilihanraya diatas sebab ada perubahan pada komposisi kerajaan memerintah dan pembangkang akibat dari adegan lompat melompat ini? Akibat dari adegan melompat ini, kerajaan Pakatan Rakyat negeri Perak kehilangan majoriti mudah mereka dan beberapa persoalan timbul dari insiden ini. Antaranya:-

1. Apakah status kerajaan yang sedia ada, mengambil kira juga persamaan bilangan kerusi pada pihak-pihak yang ingin memerintah?
2. Apakah kuasa yang ada pada DYMM Sultan Perak dalam hal ini?
3. Apa yang berlaku jika Menteri Besar enggan meletakkan jawatan.

Peruntukan Fasa XVI (6) Undang-Undang Tubuh Negeri Perak menetapkan Menteri Besar WAJIB (perkataan yang digunakan ‘shall’) meletakkan jawatan apabila dia hilang sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Undangan Negeri tetapi tidak menghurai dengan lebih lanjut maksud perkataan ‘hilang sokongan’ dan jika beliau enggan berbuat demikian.

Perlukan ada prosiding seperti ‘vote of no confidence’ seperti yang dinyatakan oleh Tengku Razaleigh Hamzah bagi mengaktifkan Fasa ini? Jika Menteri Besar enggan meletakkan jawatan, bolehkah DYMM Sultan mengarahkan beliau berbuat demikian?

Dalam kenyataan rasminya, DYMM Sultan Azlan Shah mengesahkan penggunaan Fasa XVI (6) Undang-undang tubuh dalam mengarahkan Menteri Besar meletakkan jawatan. Baginda juga menyatakan bahawa baginda mengunakan kuasa budi bicara yang ada padanya pada Fasa XVIII (2) (b) untuk menolak permintaan Menteri Besar membubarkan Dewan.

Ketiadaan huraian yang lengkap mengakibatkan percanggahan pendapat dalam hal ini. Professor Undang-Undang UIA, Abdul Aziz Bari berpendapat Sultan membuat kesilapan dengan tidak menunggu sehingga sudah jelas Menteri Besar tidak mempunyai sokongan Dewan lagi sebelum meminta MB meletakkan jawatan. Ini menurutnya boleh dicapai melalui undi tidak percaya terhadap MB dalam Dewan. Aziz Bari adalah ahli akademik yang memang diketahui condongnya kepada PAS.

Kenyataan Aziz disokong oleh peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mengatakan “law states the ruler must be convinced the incumbent MB no longer commands the majority support of the state assembly”. Malik Imtiaz memang diketahui antara peguam yang rapat dengan Penasihat PKR. Hubungan Malik dengan Tuan Hj Sulaiman, peguam kes liwat Anwar Ibrahim juga amat rapat.

DYMM Sultan Azlan Shah telah pun memanggil ADUN terbabit dan mendengar sendiri pendirian mereka sebelum membuat keputusan. Dari perjumpaan, Baginda telah BERPUAS HATI bahawa MB tidak lagi mendapat sokongan MAJORITI Dewan.

Formal sitting ‘vote of confidence’ dalam Dewan adalah ‘redundant’ dalam keadaan ini. Bulan mac lalu apabila BN tak cukup ahli di DUN, tiada sidang Dewan dipanggil untuk menentukan pembentukan kerajaan yang baru. DAP, PAS, PKR walaupun bukan parti gabungan telah diterima oleh DYMM Sultan Perak untuk menubuhkan kerajaan berdasarkan keyakinan Baginda bahawa mereka telah mempunyai majoriti di Dewan.

Saya setuju dengan kata Tengku Razaleigh Hamzah sebuah kerajaan dibina melalui pilihanraya dan bukannya melalui perubahan komposisi. Akan tetapi saya tidak rasa ianya sesuai dibuat dikala suasana tegang masih lagi ada di negara ini, ditambah pula dengan kemelesetan ekonomi.

Saya yakin DYMM Sultan Azlan Shah telah membuat keputusan yang sangat bijak dan tidak mahu negeri Baginda diselubungi dengan pecakaran yang lebih teruk apabila pilihanraya diadakan. Atas sebab itu, baginda telah menggunakan kuasa budibicara yang ada pada baginda dan ianya wajar dihormati oleh semua rakyat.

Kerajaan PR harus sedar, kerajaan yang mereka bina dulu pun hanyalah pada majoriti sangat nipis dan BN telah membenarkan mereka memerintah tanpa sebarang penentangan.

Yang jelas DYMM Sultan Azlan Shah telah membuat keputusan yang terbaik untuk negeri dan rakyat Baginda. Semua pihak wajar hormat dan patuh keputusan Baginda. Kita bersyukur mempunyai Sultan yang amat arif mengenai undang-undang dan budiman serta sangat cendiakawan.

Ampun Tuanku. Daulat Tuanku.

No comments: