Friday, December 11

Almenantunya dan kuasa politik Pas

Menantu Datuk Nik Aziz Nik Mat kelihatannya enggan mendengar nasihat Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar yang menggesa peneraju utama Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) itu tidak lagi campur tangan dalam urusan penting syarikat terbabit.

Difahamkan, ketua pegawai eksekutif PMBK, Abdul Ariffahmi Ab Razak, semalam mengeluarkan memo dalaman, mengarahkan semua urusan harian terus dilaporkan seperti biasa kepadanya sehingga tarikh pengundurannya pada Mac tahun depan.

“Segala urusan rasmi dan urusan surat-menyurat perlu dilapor dan dialamatkan kepada ketua pegawai eksekutif untuk sebarang tindakan susulan.

“Prosedur ini akan berkekalan sehingga tarikh akhir perkhidmatan saya pada 7 Rabiulakhir 1413H, bersamaan dengan 23 Mac 2010,” memo yang ditandatangan Abdul Ariffahmi dipetik.

Ia diedarkan sehari selepas Mahfuz menggesa Nik Aziz, sebagai pengerusi PMBK, mengarahkan menantunya berundur segera atau berhenti membuat keputusan yang boleh mengikat penggantinya dalam soal-soal kewangan atau projek.

Ahli parlimen itu berkata, kedudukan Abdul Ariffahmi harus ditamatkan dengan serta-merta bagi memelihara etika korporat PMBK.

Bagaimanapun tidak jelas sama ada memo ini, yang turut diterima Malaysiakini pagi tadi, dibuat sebagai reaksi kepada kenyataan pemimpin kanan PAS itu.

Abdul Ariffahmi enggan mengulas perkara ini ketika dihubungi tadi.

Beliau, yang juga exco Pemuda PAS Kelantan, memaklumkan untuk menghantar notis peletakan jawatannya di PMBK pada 24 Disember ini, sebulan selepas mengumumkan untuk meletakkan jawatan 23 November lalu.

Katanya, beliau perlu memberi notis 90 hari untuk berbuat demikian seperti dalam syarat pelantikannya, selain ingin menyiapkan kerja-kerja sedia ada dan bagi membolehkan menteri besar mencari penggantinya.

Tidak jelas memo satu halaman Abdul Ariffahmi itu ditujukan kepada siapa kerana ia hanya bertulis “senarai edaran” dalam bahagian penerimanya.

Bagaimanapun, memo itu mengingatkan, arahan itu mesti dipatuhi semua pengurus dan kakitangan PMBK serta anak syarikatnya.

Satu salinan memorandum itu turut dilampirkan kepada Nik Aziz sebagai pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri itu.

Sementara itu, Bernama pula melaporkan Mahfuz hari ini tetap mempertahankan cadangannya agar Abdul Ariffahmi segera melepaskan jawatannya demi kebaikan parti.

Saranannya itu bukan bermakna beliau mahu mengajar Nik Aziz, sebaliknya demi cinta dan sayangnya terhadap parti dan mursyidul am PAS, tambahnya.

“Tidak… (cadangan) bukan hendak mengajar sesiapa, ia satu pandangan saya kerana saya sayang pada Tok Guru (Nik Aziz)… kerana saya tidak mahu ada pihak mencerca Tok Guru atas isu ini,” beliau dipetik berkata di lobi Parlimen hari ini.

Bagi meredakan polemik itu, Mahfuz dilapor berkata pengunduran segera Abdul Ariffahmi adalah tindakan paling tepat.

Tambahnya, beliau tidak mahu melihat Nik Aziz terus dikecam kerana ia bukan saja mencemarkan imej menteri besar itu sebagai seorang tokoh ulama, malah secara tidak langsung turut memberi kesan kepada parti.

“Lagi panjang (lama), lagi banyak fitnah dan kecaman. Saya sayang sangat Tok Guru… kecaman kepada Tok Guru akan memberi kesan pada PAS,” katanya seperti dilaporkan.


sumber : http://kickdefella.wordpress.com

No comments: